Isu pemeliharaan penglihatan perlu  ditekankan terutamanya di kalangan bapa (dan juga ibu) yang menghidap  diabetes.  Kajian Mata Kebangsaan 1996 menganggarkan terdapat 63,000 individu buta dan  53,000 orang mengalami rabun teruk di Malaysia. 
Antara punca utama masalah ini ialah penyakit diabetes yang boleh memberi  kesan sampingan buruk kepada mata. Penyakit diabetes ialah penyakit sistemik di mana badan tidak dapat mengawal  kandungan gula, menyebabkan paras gula dalam darah menjadi terlalu tinggi. 
Peningkatan paras gula dalam darah juga memberi kesan terhadap sistem salur  darah dan mengakibatkan serangan strok dan jantung, kegagalan buah pinggang  serta kerosakan pada mata dikenali sebagai retinopati diabetis. 
Kesan
Kesan masalah buta akibat penyakit diabetes sangat besar. Kebanyakan pesakit  tergolong dalam peringkat usia yang produktif dan mempunyai tanggungjawab besar  menyara hidup serta keluarga masing-masing. 
Kehilangan penglihatan pada peringkat ini boleh menyebabkan mereka kehilangan  kerja kerana tidak mampu melakukan tugas dengan berkesan. Ini seterusnya akan  menjejaskan ekonomi dan dinamik keluarga pesakit. 
Impak negatif ini juga secara langsung membantutkan pembangunan dan ekonomi  negara, terutamanya dengan kehilangan tenaga kerja di peringkat paling  berpotensi dan produktif dalam hidup mereka. 
Kerajaan pula terpaksa menanggung kos perubatan dan kebajikan pesakit ini.  
Oleh kerana impak negatif ini, kebutaan akibat diabetes perlu dicegah! 
Pencegahan boleh dilakukan dengan memastikan pesakit diabetes menjalani  pemeriksaan mata secara berkala. 
Pengesanan masalah mata di peringkat awal membolehkan doktor mata memberi  rawatan sewajarnya mengikut keadaan pesakit. 
Pemeriksaan mata
Retinopati diabetis adalah penyebab utama kebutaan baru di negara maju dan  membangun. 
Kemungkinan seorang pesakit diabetes menjadi buta adalah 25 kali ganda lebih  tinggi berbanding individu sihat tetapi boleh dielakkan jika dikesan serta  dirawat dari awal. 
Sekitar 2006 dan 2007, jumlah pesakit diabetes di negara kita meningkat  kepada 14.5 peratus daripada 8.3 pada 1996. 
Didapati kadar komplikasi paling lazim akibat diabetes adalah ke atas saraf  (58 peratus) dan mata (53 peratus). Selepas lima tahun seseorang itu disahkan menghidap diabetes, 14 peratus  daripada pesakit didapati menghidap retinopati diabetis. 
Namun, didapati hanya tiga hingga 20 peratus pesakit diabetes menjalani  pemeriksaan mata berkala. 
Ini menunjukkan 80 peratus lagi pesakit diabetes yang tidak menjalani  pemeriksaan mata berdepan risiko menjadi buta akibat retinopati diabetis. 
Tanpa disedari
Kajian Kementerian Kesihatan pada 2002 untuk menyaring kesan penyakit  diabetes ke atas mata melalui gambar retina di tujuh buah hospital di tujuh  negeri memperoleh keputusan membimbangkan. 
Daripada 6,288 pesakit diabetes, 38 peratus (2,138 orang) mengalami  retinopati diabetis tanpa disedari. 
Jika fakta ini diunjurkan kepada semua pesakit diabetes yang berjumlah hampir  3.7 juta (14.5 peratus daripada 26 juta rakyat Malaysia), bermakna kira-kira 1.4  juta pesakit menghidap retinopati diabetis tanpa disedari kerana tidak menjalani  ujian saringan daripada doktor mata. 
Fakta ini membimbangkan dan juga menyedihkan kerana pengesanan awal  membolehkan kita mencegah kebutaan retinopati diabetes melalui rawatan laser  atau pembedahan. 
Bagaimanakah keadaan mata pesakit yang mengalami retinopati diabetis? Gambar  mata pesakit diabetes menunjukkan contoh pendarahan di dalam retina mata pesakit  yang tidak menjaga pemakanan. 
Pesakit berkenaan juga menghidap darah tinggi, paras lemak tinggi dalam darah  dan dia juga seorang perokok tegar. Semua faktor ini meningkatkan lagi risiko  mendapat retinopati diabetis yang teruk. 
Gambar tersebut menunjukkan perdarahan pada retina yang berlaku di dalam mata  seorang pesakit diabetes yang tidak mengawal gula di dalam darah. Kebocoran  lemak di tengah retina menyebabkan gangguan penglihatan. 
Komplikasi sampingan
Satu fakta penting yang perlu diketahui pesakit diabetes ialah jika  retinopati diabetis berlaku, besar kemungkinan pesakit itu juga mengalami  masalah kerosakan buah pinggang yang dipanggil nefropati diabetis. 
Ini penyebab utama kegagalan buah pinggang tegar yang memerlukan dialisis  seumur hidup. 
Oleh itu jika pesakit diabetes didapati menghidap retinopati diabetis,  pemeriksaan air kencing perlu dilakukan segera untuk mengesan nefropati  diabetis. 
Pada peringkat awal, pengambilan ubat dapat mencegah kegagalan buah pinggang  tegar. 
Kesedaran masyarakat, terutama pesakit diabetes, dan doktor yang merawat  mengenai kepentingan penyaringan mata sangat penting. 
Menjadi kewajipan pesakit untuk menjalani pemeriksaan mata dan menyebarkan  pengetahuan ini kepada pesakit lain supaya lebih ramai menjalani pemeriksaan  untuk mengelakkan kehilangan deria penglihatan. 
Apa yang perlu dilakukan pesakit? Tentukan mata anda diperiksa pakar mata  sekurang-kurangnya sekali setiap tahun. 
Kepada pengamal perubatan pula, patuhi jadual pemeriksaan mata pesakit  seperti disarankan. 
Pesakit diabetes boleh dirujuk untuk pemeriksaan retina di klinik mata atau  pusat kesihatan yang ada kemudahan kamera retina. 
Kepada pesakit diabetes, ingatlah bahawa: 
*kemungkinan anda menjadi buta adalah 25 kali ganda daripada orang sihat 
*walaupun anda dapat melihat dengan jelas, tidak bererti tiada kerosakan pada  retina mata anda 
*kerosakan retina mungkin bererti kerosakan buah pinggang yang boleh dikesan  awal dengan ujian air kencing 
*kerosakan awal buah pinggang dapat dirawat dan ini turut mencegah berlakunya  kegagalan buah pinggang tegar yang memerlukan dialisis yang juga memerlukan  belanja besar dan mengganggu kualiti hidup anda
Jika anda menghidap diabetes melebihi lima tahun, di samping mempunyai  masalah tekanan darah tinggi, merokok, paras lemak tinggi dalam darah dan  kawalan gula darah yang tidak sempurna, risiko mendapat kerosakan retina adalah  tinggi. 
Jangan berlengah, minta dirujukkan ke klinik mata dengan segera! Bersama kita  memelihara penglihatan sebelum mata menjadi buta.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
- 
Pada masa kini, terdapat banyak pakej yang ditawarkan pada kanak-kanak di kedai-kedai Optik. Bertanyalah dengan jelas jenis cermin dan bin...
 - 
Ibu : Ustaz, saya penatlah, anak-anak aktif, cakap kena jerit-jerit, rumah semak. Ustaz ada ayat tak, nak bagi anak dengar cakap? Sang faq...
 - 
Masalah juling antara masalah mata yang kerap berlaku, terutama pada kanak-kanak.Walaupun ada orang menganggap juling sebagai tanda tuah, ha...
 
perkongsian yang sangat menarik admin..tq for sharing..
ReplyDelete