Saturday, 30 August 2014

CORETAN DI MALAM KEMERDEKAAN


Esok negara bakal meraikan hari kemerdekaan yang ke-57, pelbagai persiapan diatur bagi memeriahkan dan meraikan tarikh bersejarah ini. Seperti kebiasaannya kita akan dihidangkan dengan program-program yang kebiasaannya hanya 'sia-sia'. Maaf...inilah pendapatku jika ada yang kurang bersetuju itu atas penilaian masing-masing.

Pengisian program sambutan kemerdekaan yang dilaksanakan sejak lebih lima dekad yang lampau lebih banyak menyumbang ke arah perlakuan moral yang tidak sihat. Lihat sahajalah siapakah golongan yang mendominasi Dataran Merdeka pada acara menghitung detik tepat 12 malam ?

Apakah menghitung detik-detik kemerdekaan itu perlu ?

Adakah dengan mengira saat-saat itu kita telah meletakkan diri kita, anak-anak kita dan masyarakat kita sebagai telah merdeka ?

Sesiapa pun jua mampu mengatakan dia MERDEKA ! Merdeka yang ringan dibibir dan berat  untuk dilaksanakan dalam kehidupan. 

Merdeka kita di bumi ini tidak bererti merdeka kita sebagai HAMBA ALLLAH. Kita masih lagi di bawah pemerhatian ALLAH. Kita masih lagi perlu memperjuangkan kemerdekaan yang belum tercapai selagi kita masih bernyawa dan selagi kita belum mendapat jaminan SYURGA ALLLAH.

Meraikan Hari Kemerdekaan negara itu tidak salah. Namun, biarlah apa jua program yang dianjurkan di peringkat nasional mampu memberikan impak positif dalam masyarakat khususnya generasi muda.

Mendekati golongan remaja ini dengan program-program yang menjirus ke arah pembentukkan sifat-sifat mahmudah adalah sesuatu yang wajar dikembangkan. Tidak hanya dimomokkan dengan konsert-konsert dan nyanyian yang melalaikan sebaliknya  digantikan dengan acara-acara yang lebih bermanfaat seperti program-program bercorak keagamaan dan kerohanian agar  nilai-nilai positif itu dapat diterap dan ditanamkan ke dalam diri setiap lapisan masyarakat. 

Transformasi program-program kemerdekaan di kaca televisyen juga perlu diperluaskan. Bukan sekadar menyemai semangat cintakan negara malah lebih tinggi daripada itu semangat cintakan ISLAM. Sampai bila kita harus berada dalam ketakutan untuk bersaing dengan program-program yang akan menghancurkan generasi ummah ? Kenapa kita masih gemar menghidangkan sesuatu yang akan membinasakan anak-anak kita ?

Sampai masanya kita menilai dalam diri. Bagaimana kehidupan kita sekarang ? Anak-anak kita ? Saudara-mara kita ? Jiran-jiran kita ? Lakukan perubahan dalam diri kita dan bantu orang sekeliling menjadi lebih baik bersama kita.

In shaAllah semoga kemerdekaan yang kita sambut hari ini akan memberikan titik perubahan besar dalam kehidupan kita di dunia dan akhirat.

Kemerdekaan yang sebenar adalah kemerdekaan dari azab Allah dan kemerdekaan dari api Neraka.

Astaqfirullah....

Semoga Allah berikan Taufik dan Hidayahnya kepada kita semua. Ameen ya Rabal 'Alamin...


No comments:

Post a Comment

KENAPA ANDA PERLUKAN AL-QURAN TANGGING