Thursday 12 December 2013

Hukum Pembedahan Blepharoplasty Pada Kelopak Mata



Pembedahan blepharoplasty adalah pembedahan terhadap kelopak mata sama ada kelopak mata atas (upper eyelid) atau kelopak mata bawah (lower eyelid) bagi membuang lemak, tisu, dan kulit yang berlebihan di sekitar kelopak mata. Pembedahan blepharoplasty dilakukan sama ada untuk tujuan kosmetik bagi mengubah penampilan muka supaya kelihatan lebih muda dan cantik, atau dilakukan sebagai prosedur rawatan bagi mereka yang mengalami masalah tertentu pada kelopak mata. Daripada perspektif fiqah, hukum dua kategori tersebut adalah berbeza sebagaimana berikut.

i- Pembedahan Blepharoplasty Untuk Kosmetik

Sekiranya pembedahan blepharoplasty dilakukan untuk tujuan mengubah penampilan muka supaya kelihatan lebih muda atau menutup tanda-tanda penuaan seperti kedut-kedut di bahagian kelopak mata dan seumpamanya, maka pembedahan seperti ini termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah yang diharamkan oleh syarak.

Nabi S.A.W. bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ وَالمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالمُتَنَمِّصَاتِ، وَالمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Allah melaknati wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dibuat tatu, yang meminta dicukur kening, yang membuat penjarangan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah Taala”. (Hadis riwayat Bukhari, 7/164, no: 5931; Muslim, 3/1678, no: 2125).

Dalam hadis di atas, dua elemen yang menyebabkan pelakunya mendapat laknat Allah ialah mengubah ciptaan Allah berserta dengan tujuan untuk kecantikan. Dan kedua-dua elemen ini wujud dalam pembedahan blepharoplasty untuk tujuan kosmetik.

ii- Pembedahan Blepharoplasty Untuk Rawatan Kesihatan

Sekiranya pembedahan blepharoplasty dilakukan kerana keperluan dari sudut perubatan, contohnya bagi orang tua yang menghadapi masalah kelopak mata longgar sehingga menutup penglihatan mata, ataupun masalah-masalah kesihatan lain pada kelopak mata yang dapat diatasi melalui pembedahan blepharoplasty, maka ia harus dilakukan.

Imam Nawawi ketika mengulas tentang pengharaman melakukan penjarangan gigi menyebut, “...yang diharamkan ialah yang dilakukan untuk tujuan kecantikan. Manakala orang berhajat kepada prosedur tersebut untuk tujuan rawatan atau kecacatan pada gigi atau seumpamanya, maka tidak mengapa”. (Syarh Sahih Muslim 14/107).

Justeru, pembedahan blepharoplasty bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan yang memerlukan pembedahan dilakukan pada kelopak mata, adalah termasuk dalam kategori pembedahan yang diharuskan.

sumber: Fatwa Malaysia

No comments:

Post a Comment

KENAPA ANDA PERLUKAN AL-QURAN TANGGING