Kenali Punca Mata Alergik


Kanak-kanak kerap kali mengalami keadaan mata merah dan mengadu keadaan mata yang tidak selesa. Dalam bahasa perubatan, penyakit ini dikenali sebagai allergic conjunctivitis

Punca-Puncanya

Penyakit ini berlaku disebabkan tindak balas alahan pada struktur konjunktiva mata. Tindakbalas alergi ini boleh disebabkan oleh pendedahan kepada:
* debunga
* habuk
* makanan-makanan tertentu (seperti makanan laut, telur dan sebagainya)
* bulu binatang
* asap rokok
* bahan kimia klorin
* minyak wangi dan kosmetik
* lain-lain punca

Penyakit ini bukanlah disebabkan oleh jangkitan kuman dan ia tidak berjangkit sama sekali. Pesakit yang mengalami masalah alergi mata kerap kali turut mengalami penyakit-penyakit alergi lain seperti asma, rhinitis (resdung) dan penyakit alergi kulit.

Kebanyakan pesakit-pesakit juga turut mempunyai sejarah keluarga atau ahli keluarga yang lain turut mengalami penyakit-penyakit alergi seperti yang dinyatakan di atas.


Gejala klinikal

Penyakit ini biasanya berlaku pada kedua-dua belah mata. Pesakit biasanya mengadu mata merah, gatal pada mata dan mata berair.

Kelopak mata pesakit juga kadang-kala turut membengkak sedikit. Penyakit ini biasanya tidak mengganggu ketajaman penglihatan kecuali dalam kes-kes yang teruk dan serius.

Tanda-tanda klinikal ini kerap kali berlaku dan biasanya mengambil masa selama tujuh hingga 10 hari untuk pulih.
Ia juga boleh berulang pada bila-bila masa sahaja dan biasanya agak kerap berlaku dalam kes-kes yang serius.

Bagi kes yang serius, pesakit boleh mengalami keadaan mata yang sangat merah dan tidak selesa terutamanya apabila terkena cahaya matahari.

Lapisan konjunktiva pada kelopak mata biasanya membengkak (giant papillae).

Keadaan ini sekiranya berterusan boleh menyebabkan luka pada lapisan kornea mata (shield ulcer).

Luka pada lapisan kornea akan menyebabkan pesakit berasa sangat tidak selesa, mata berair dan berasa lebih selesa apabila memejam mata.

Luka ini perlu mendapat rawatan yang sewajarnya bagi mengelakkan berlakunya jangkitan kuman pada mata.


Pencegahan dan rawatan

Ibubapa dinasihati supaya mengenalpasti punca-punca alergi kepada anak-anak mereka. Punca-punca alergi ini berbeza dari satu individu ke individu yang lain.

Seterusnya, elakkan anak-anak terdedah secara langsung kepada punca-punca tersebut. Langkah pencegahan ini penting bagi mengelakkan situasi yang kronik dan keadaan mata yang tidak selesa untuk tempoh masa yang lama.
Contohnya, sekiranya bulu kucing menyebabkan gejala alergi mata terjadi ke atas anak anda, jangan membela kucing sebagai binatang peliharaan di rumah.

Jangan menggunakan pewangi tertentu sekiranya bahan tersebut menyebabkan mata anak anda menjadi lebih merah, berair dan gatal-gatal.

Dapatkan pemeriksaan awal di klinik yang mempunyai kepakaran dalam bidang oftalmologi (mata), sama ada di klinik kerajaan atau klinik swasta.

Pengesahan diagnosis yang tepat oleh doktor mata adalah penting bagi menentukan anak anda mengalami penyakit alergi mata dan bukannya penyakit-penyakit mata lain yang mungkin boleh menjejaskan keupayaan anak anda melihat kelak.

Ubat titis mata biasanya digunakan untuk merawat penyakit ini. Terdapat pelbagai jenis ubat titis mata untuk rawatan penyakit alergi mata di pasaran dan preskripsi ubat akan diberikan oleh doktor mata berdasarkan keadaan mata pesakit.

Rawatan susulan dengan doktor pakar mata yang konsisten (berkala) dan penggunaan ubat titis mata secara teratur amat penting bagi mengawal gejala-gejala klinikal yang disebutkan di atas.

Ibu bapa dilarang daripada membeli ubat titis mata dari farmasi tanpa preskripsi doktor untuk merawat penyakit alergi mata.

Sesetengah ubat, contohnya ubat titis steroid, hanya boleh digunakan untuk tempoh masa yang singkat dengan pengawasan rapi oleh doktor mata.

Pesakit dikhuatiri menggunakan ubat tersebut untuk tempoh masa yang panjang dan berulang-ulang tanpa merujuk kepada doktor mata.

Keadaan ini boleh menyebabkan tekanan dalam bola mata meningkat dan berlaku kerosakan pada saraf mata, yang dikenali sebagai penyakit glaukoma akibat penggunaan ubat steroid.

Situasi ini boleh menyebabkan pesakit menjadi buta sekiranya tidak dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

Pesakit yang mengalami gejala alergi mata juga tidak digalakkan menggunakan kanta lekap. Penggunaan kanta lekap biasanya akan menyebabkan gejala-gejala alergi mata sukar dikawal dengan penggunaan ubat titis mata.

Pesakit yang mengalami masalah alergi mata dinasihatkan menggunakan cermin mata bagi mengatasi masalah rabun penglihatan.


sumber: utusan.com.my (doktor menulis, Dr. Shatriah Ismail)


Ini antara kebaikan CELLMAXX




www.wasap.my/60163175340

Comments