Wednesday 2 October 2013

Kanta lekap risiko ulser kornea



Penggunaan kanta lekap menjadi kegemaran dewasa ini. Terdapat pelbagai warna dan jenis menjadi pilihan terutama bagi remaja dan dewasa. Akan tetapi, pemakaian kanta lekap mempunyai risiko jangkitan atau kudis pada selaput kornea mata.


Kornea adalah selaput pada bahagian depan mata hitam kita. Ia adalah kawasan yang paling cembung pada mata dan kecembungan ini penting untuk cahaya memasuki mata dan meletakkan fokus imej yang dipandang jatuh pada retina agar penglihatan menjadi jelas.


Apabila kanta lekap diletakkan pada kornea mata, kawasan berkenaan memerlukan oksigen dan pengairan yang memadai. Jika bekalan oksigen kurang dan kawasan kornea itu menjadi kering, sel permukaan kornea mula ‘mati’ dan kuman terutama pseudomanas aeruginosa mudah untuk melekat pada kornea mata dan mula membiak.


Kuman ini akan cepat membiak dan merosakkan sel kornea lalu membentuk kudis atau ulser kornea. Pada peringkat awal pesakit akan mempunyai simptom seperti tidak selesa, terasa bendasing dalam mata, kelopak mata bengkak dan mata berair.


Ia bergantung pada berapa besar saiz ulser itu. Pada peringkat yang berikutnya mata mula menjadi merah, sakit menjadi semakin teruk, silau terutamanya bila terdedah pada cahaya matahari, mata bertahi dan pandangan menjadi kabur.


 Jika tidak dirawat, nanah akan terbentuk di bahagian depan mata. Jika diperhatikan, simptom awal ulser pada kornea ini hampir sama dengan jangkitan mata biasa dan sering terlepas pandang oleh pengamal perubatan.


Oleh itu, kepada pesakit yang memakai kanta lekap, haruslah memberitahu doktor yang memeriksa dan lebih baik jika pemeriksaan dilakukan oleh pakar mata bagi pemeriksaan lanjut menggunakan slit lamp. Sampel daripada kawasan yang mengalami ulser akan diambil dan dihantar ke makmal untuk menentukan jenis kuman yang menyebabkan ulser berkenaan.

Rawatan awal adalah penting untuk mengelakkan komplikasi daripada kudis atau ulser pada kornea. Pesakit biasanya akan dipantau di dalam hospital. Beberapa jenis ubat titis yang mengandungi antibiotik akan diberi.


Lazimnya, ubat itu akan dititis setengah jam atau setiap jam untuk beberapa hari. Itulah tujuan pesakit dipantau dalam wad. Jika tidak, pesakit gagal untuk menitis ubat itu terutamanya pada waktu malam.


Jika lewat dirawat, komplikasi yang paling merisaukan ialah buta. Ulser itu akan sembuh secara semula jadi namun tanpa rawatan yang sesuai akan membentuk parut kekal pada lapisan kornea.


Jika parut ini terletak tepat pada anak mata, ia akan mengganggu kemasukan cahaya seterusnya mengganggu pembentukan objek yang dilihat pada retina dan akhirnya menyebabkan buta. Selain itu, jangkitan yang teruk pada selaput kornea boleh menembusi lapisan berkenaan dan kuman akan merebak pada bahagian dalam mata.


Individu yang paling berisiko untuk mendapat ulser pada kornea ialah yang suka memakai kanta lekap semalaman dan memakai lebih daripada masa yang sepatutnya.


Ia mudah terjadi pada pemakai yang tidak menjaga kebersihan tangan dan bekas kanta lekap berkenaan. Air dalam bekas kanta lekap hendaklah ditukar untuk mengelakkan kuman bertakung di dalamnya.


Tangan perlu dibasuh setiap kali ingin menanggalkan atau melekapkan kanta. Kepada pesakit yang mengalami masalah mata kering ataupun alahan mata, tidak digalakkan memakai kanta lekap.


Ia tak sesuai pada perokok kerana asap rokok boleh menyebabkan mata menjadi kering dan terdedah kepada risiko jangkitan. Begitu juga kepada sesiapa yang bekerja di luar bangunan atau tempat yang berhabuk, adalah tidak digalakkan menggunakan kanta lekap.



Artikel ini di ambil dari: myMetro

No comments:

Post a Comment

KENAPA ANDA PERLUKAN AL-QURAN TANGGING